Rabi’ah
binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam
sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah
berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang
miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah.
Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai
Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah,
keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang
sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan
semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru
itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan
berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan
zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah
memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam
fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang
dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya
terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga
untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi
mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba
yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak
pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya
menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya
bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu
gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal
kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus,
mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya,
kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah
beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali
daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat
yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan
limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya,
dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak
taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita
merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas
ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku
berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh
memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh
mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah
menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup
pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara
binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran
air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya
teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman
guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti
keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur
dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya
Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau
berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur
supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan
mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu.
Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana
kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang
sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat,
bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di
sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha
Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan
pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau
akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan
menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah
caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di
atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu
itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan
hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu
bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan
untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku
tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak
mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai
Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk
mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya,
pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia
sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa
membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu
cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan
pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia
memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan
Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau
akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang
menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana
takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku
menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku
daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu
maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu
yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan
Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta
kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu
ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri
sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah
di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud: “Apakah kamu mengira
bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang
berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila
insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus
berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak
terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini: “Ya Allah!
Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja
yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang
mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan
hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara
hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta
kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah
serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak
mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam.
Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat
serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar
daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung
betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar
bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini
kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian
mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan
nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.